KAHERAH: Rundingan gencatan senjata tidak langsung antara Israel dan Hamas akan diteruskan lagi hari ini, dengan delegasi Qatar menuju ke Kaherah, menurut Kementerian Luar Negeri Qatar.

Jurucakapnya, Dr Majed Mohammed Al-Ansari berkata, rundingan berterusan dilakukan selepas pasukan pejuang Palestin, Hamas menghantar maklum balas mengenai cadangan yang mungkin "boleh disifatkan sebagai positif."

Al-Ansari turut menyatakan harapan Qatar "bahawa rundingan itu akan mencapai kemuncaknya iaitu persetujuan untuk gencatan senjata segera dan kekal di Semenanjung Gaza dan pertukaran banduan dan tahanan serta aliran bantuan kemanusiaan yang mampan ke semua kawasan di Semenanjung Gaza."

Terdapat gesaan antarabangsa supaya persetujuan dicapai mengenai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres pada Isnin menggesa kerajaan Israel dan Hamas supaya bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata selepas Hamas berkata ia menerima perjanjian yang dicadangkan oleh Mesir dan Qatar.

Menteri Luar Negeri Jordan, Ayman Safadi juga menyatakan harapannya untuk perjanjian yang akan dicapai. - Agensi